Friday, October 19, 2012

Kaf Wau Cha Ya Nga



Kaf wau cha ya nga.. k u c i n g! Kenapa kucing? Jawapannya sebab saya sayang kucing. Kenapa saya sayang kucing? Tiada jawapan.. ^_^

Sejak kecil, saya memang telah diajar untuk sayangkan kucing. Alhamdulillah, mak, abah, abang, adik, semuanya sayangkan kucing. Mereka kata kucing sangat comel. Kan? Paling sedikit saya pernah pelihara, 6 ekor dan paling banyak 22 ekor. Sekarang ada 10 ekor sahaja. Semuanya di bawah jagaan adik saya. Saya sendiri memelihara 4 ekor. Aduh, kucing boleh bikin hati rindu, gembira, gundah- gulana. Tidur tak nyenyak kerana kucing, makan tak kenyang kerana kucing.. ( Sampai begitu sekali?) Heh! Perumpamaannya begitulah.. Haha..

 Mengimbas kenangan lalu, semua kucing kami, diberi makan nasi gaul dengan ikan (goreng/rebus). Bila agak “sesak”, kami cuma gorengkan ikan bilis gaul dengan nasi. Kucing ni pun macam faham, mereka tahu kami tak mampu, jadi makan seadanya. Lauk ikan masin pun pernah.. ( Eee.. sedih la pulak.. sob..sob..) Kami orang kampung, kucing pun kucing kampung juga, pelihara cara kampung. Tidak pernah terfikir pun yang kucing boleh makan biskut (kibbles). Lagipun, kami manalah mampu. Makan pun cukup2 saja. Mandi kadang2, itupun menggunakan sabun mandi. Kucing2 kami tidak pernah diberi vaksin, jauh sekali ubat cacing, ubat kutu & segala macam perlindungan yang lain. Kucing sakit sekalipun, kami cuma bubuh minyak gamat, bila selsema, bagi Vick.  Hendak dibawa ke klinik, manalah mampu, alahai… 

Di kampung, tidak pernah ada masalah memelihara kucing. Kucing pun pandai bawa diri. Duduk dalam rumah, tapi bila nak poo, pee, mereka pandai keluar. Mereka bebas keluar masuk. Masalah akan timbul bila kucing betina mula beranak, kucing jantan mula menggatal. Hampir satu rumah di”pancut”nya.. Bau merata-rata. Kucing betina pula bila tiba saat melahirkan, mula la mencari tempat. Habis satu rumah digeledah, sampai dalam almari baju, asalkan dia dapat tempat yang tersorok dan selesa. Dulu-dulu manalah tau yang kita boleh mandulkan kucing. Lainlah sekarang, zaman serba canggih. Dunia “borderless”. Semuanya di hujung jari.

Itu belum masuk bab “melepas” merata-rata. Memang kebanyakan kucing kami pandai poo pee di luar, tapi ada jugak yang spesis pemalas, pengotor. Melepaskan hajat di tempat-tempat tersembunyi dalam rumah, macam belakang almari, bawah katil, bawah meja, pendek kata mana saja kawasan sesuai, habis dijadikan “port”. Heh! Kami ni kononnya sayangkan kucing, tapi bila bab membersihkan menda alah tu, hmmm… mak lah yang buat.. (teruk, bukan?) Tiada rasa bertanggungjawab langsung. Masing-masing tunding jari. Itu dulu, semasa kami kecil.. Sampai kadang-kadang mak mengamuk sebab selalu sangat kucing2 ni membuang merata-rata. Sampai satu tahap, bila malam, semua kucing akan tidur luar. Hahaha.. Tapi, makhluk Allah paling comel ni pun bijak juga. Mereka akan sentiasa cari jalan untuk masuk. Panjat sana sini cari mana-mana ruang boleh selit. Almaklumlah rumah kampung. Berlubang sana sini hingga akhirnya pasti ada yang berjaya menyelinap masuk. Yang tak lepas tu, nasiblah.. Kenangan sungguh…

Kini, kucing datang silih berganti. Bila ada yang mati, pasti ada yang datang. Macam tahu2 saja. Orang kata “patah tumbuh hilang berganti”. Betullah tu. Bila rumah kita banyak kucing, mula lah orang akan membuang kucing berhampiran rumah kita (macam lah kita tak tahu). Tau2, ada yang tergedik2 datang minta makan. Tak mengapa, selalunya ada rezeki untuk mereka. Satu lagi, mungkin rumah banyak kucing ni ada aura sendiri. Pelik juga, kenapa kucing tak datang ke rumah jiran? Kenapa rumah kami? Kami anggap sahaja rezeki datang bergolek. Memang rezeki tak pernah putus pun walaupun cukup2 saja. Itu sudah memadai. Alhamdulillah. 

Bila sudah ada kehidupan sendiri, saya tidak pernah terfikir untuk memelihara kucing. Apatah lagi kewangan tidak mengizinkan semasa mula2 kerja dahulu. Tambahan pula semasa menetap di Kuala Lumpur, saya hanya mampu menyewa rumah atas kayangan. ( pernah duduk apartment, rumah kedai dan flat). Keinginan tetap ada, tetapi saya pendamkan jauh2 dalam hati. Apabila balik ke kampung, saya masih boleh bermanja2 dengan kucing. Itu sudah memadai. 

Semasa menyambung belajar di salah sebuah institusi pengajian tinggi beberapa tahun yang lepas, saya selalu memberi makan seekor kucing yang saya panggil Oyen. Saya tinggal di tingkat 3. Kenapa Oyen selalu lepak di tingkat 3? Kenapa bukan di tingkat 1 atau 2? Ha…. Aura barangkali.. Hehee.. Tapi malang sekali Oyen dibuang oleh makcik tukang sapu sebab ramai penghuni lain yang merungut Oyen membuang merata2 (memang betul pun). Tapi, namanya pun kucing. Kalau manusia, mestilah Oyen membuang di tandas, kan? Tak apalah, saya redhakan sahaja.

Apabila saya tinggal di rumah teres (walaupun rumah kos rendah sahaja), saya masih belum terfikir untuk memelihara kucing (hanya “feed” kucing jalanan di lorong belakang rumah) sehinggalah saya mengikuti perjalanan blog Mohd Hairey Yahya (Papa Hero). Daripada blog kakimotong jugalah saya mengenali Wira Fans Club (WFC) dan daripada WFC inilah saya mula memelihara kucing. Ada 4 ekor semuanya yang saya “adopt” daripada Kak Sue Hikmah, salah seorang admin WFC.

Sungguh! Saya tidak pernah terfikir untuk memelihara kucing, apatah lagi saya berkongsi rumah dengan seorang sahabat yang tidak menggemari kucing. ( Alhamdulillah dia boleh menerima kehadiran 4 ekor anak2 bulus saya). Terima kasih. Demi menjaga keselesaan bersama, saya pastikan kucing2 terurus dengan baik ( tempat makan, tempat melepas, lantai rumah, bau2an ). Semuanya harus dijaga. Walaupun penat membersihkan rumah siang malam, namun saya puas tiap kali melihat karenah mereka yang sangat mencuit hati.

Saya memang sayangkan kucing. Namun, saya tidak pernah terfikir untuk menjadi penyelamat kucing jalanan. Dulu, saya hanya sayangkan kucing saya sahaja. Saya jarang pedulikan kucing2 lain. Penulisan Papa Hero banyak menyedarkan saya. Sungguh! Ia sangat terkesan di hati. Saya sangat kagum dengan manusia sepertinya ( mungkin ramai lagi yang tidak saya kenali) yang sanggup bersusah payah untuk kucing. Saya mula menyimpan “kibbles’ dalam kereta supaya senang saya “feed” apabila terjumpa kucing2 tidak bertuan. Saya mula menghantar kucing yang cedera ke klinik walaupun hanya seekor kucing jalanan. Alhamdulillah, saya rasa puas melakukannya.

 Kesimpulannya, berkongsilah rezeki walau hanya dengan haiwan. Terima kasih kepada emak saya yang memelihara dan menyayangi kucing sejak saya dilahirkan. Kalau tidak, mungkin saya tergolong dalam kalangan manusia yang takut, jijik, geli dengan makhluk Tuhan paling comel ini.. Rugi sungguh. Tidak semua orang setuju dengan saya. Hanya yang “sealiran” saja yang boleh memahami.  Sekian, saya akhiri ucapan ( hei!! Ini bukan ucapan, hokay… ) haha.. Sekian.. ^_^

No comments:

Post a Comment